Wednesday, August 11, 2010

Pergi Tak Kembali


Ahad, tanggal 28 Sya’ban 1431H, bersamaan 8 Ogos 2010. Itulah tarikh pemergian atok kami yang tercinta, Allahyarhamah Hjh Kamsiah bte Hj Abu Bakar.

Kami baru selesai sarapan di umah kuarge mertuaku di Kg. Sg. Gersik, Muar bila HPku berdering. Ku fikirkan bunyi loceng jam. Masa tu kira-kira jam 7.50 pagi. Bila ku capai HP, tertera pemanggilnya Oly, adikku di JB, hatiku dah terdetik. ”Maktok dah takde...” ujar Oly. Air mataku mengalir laju walaupun sudah ku agak berita yang bakal dikhabarkan.

Kami sekuarge bergegas bersiap & bergerak ke Kg. Kayu Ara Pasong pagi tu. Alhamdulillah, kami sempat menatap wajah atok buat kali terakhir sebelum dia disolatkan & diusung untuk dikebumikan. Wajahnya tenang sahaja pada pandangan mataku.

Arwah atok sangat sayangkan cucu-cucunya. Bila ku kenang kembali, kira-kira 5 bulan lepas arwah atok masih lagi sihat dan membela aku yang baru lepas bersalin dengan penuh sehingga habis pantang selama 44 hari. Dialah yang dodoikan Qifah bila Qifah menangis, mandikan Qifah (berapa kali diberak & dikencingkan Qifah semasa dalam proses memandikan dia tu…), masakkan aku, mandikan aku semasa awal pantang, buatkan tungku, tuam, pakaikan bengkung, param, pilis, segala-galanyalah. Pilu betol hatiku bila terkenangkan detik-detik itu. Kami anak beranak dijaga sebegitu rapi tanpa jemu. Difikirkan kembali, Qifahlah cicit terakhir yang dibelanya.

Habis sahaja pantang, kesihatan arwah atok kian merosot. Sehinggalah pada bulan Jun/Julai dia disahkan menghidap kanser usus, pada waktu itu dah stage 4. Doktor juga telah menyatakan peluangnya untuk pulih amat tipis, dengan usianya yang sudah menjangkau 80+ tahun. Kami & saudara mara yang lain cuba ikhtiarkan cara tradisional, tapi nampaknya tidak berkesan.

Aku sempat menjenguknya sehari sebelum pemergiannya. Arwah atok kurus sangat sebab dia dah tak lalu makan. Makan pun sekadar minum sup 2-3 suap. Sempat aku suapkan bubur & sup untuknya, tapi tak banyak. Katanya, dia tak dapat menjaga aku sekiranya aku bersalin lagi. Aku dah memang banjir dengan air mata sepanjang melawatnya di kampung.

Allah maha penyayang dan lebih mengetahui apa yang terbaik baginya. Kembalinya arwah atok ke pangkuan Ilahi boleh jadi cara Allah meringankan kesakitan yang ditanggungnya itu. Ralatnya, aku tak terfikir untuk meminta maaf & meminta halal segala yang diberikan oleh arwah atok semasa aku menziarahinya. Mungkin masa tu aku fikir arwah atok tidak akan pergi secepat itu.

Ya Allah! Engkau cucurilah rahmat ke atas roh Allahyarhamah Hjh Kamsiah bt Hj Abu Bakar dan ampunkanlah dosanya. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama para Solihin dan penghuni syurgaMu, Amin Ya Rabb!

1 comment: